MAKLUMAN

1. Adalah dimaklumkan bahawa portal blog 'Jerantut Daily' ini masih lagi dalam pembinaan. Segala kekurangan dan kesulitan sangat dikesalkan. Sebarang cadangan dan teguran boleh dibuat sama ada diruang 'komen' yang disediakan atau ke email.

2. Sebarang sumbangan artikel, info dan berita boleh dibuat dengan menghantar ke alamat email yang tertera.

3. 'Jerantut Daily' juga akan menyediakan ruangan iklan dengan bayaran bulanan yang berpatutan. Sila hubungi email kami jika berminat sambil memberikan sumbangan.

Terima Kasih ~ Admin.

Friday 13 January 2012

TAK PASAL-PASAL AKU KENE GI KUIL HINDU ........

Hari ini aku letih betul. Ke hulu ke hilir nak menyelesaikan dan menyiapkan dokumen pinjaman PTPTN anak yang dapat masuk politeknik. Yang politeknik dan PTPTN pun satu hal jugak. Hari Selasa, 10 Januari 2012 keputusan kelulusan pinjaman PTPTN diumumkan. 15 Januari 2012 pihak politeknik dah nak kumpul semua dokumen sebab minggu berikutnya PTPTN dah nak kutip.


Semalam aku cetak dokumen-dokumen secara online. Pagi tadi berbaris kat Pejabat Pos beli setem hasil. Nak dapat 2 keping setem hasil kena tunggu dekat sejam. Lepas tu isi pulak maklumat dalam dokumen-dokumen tersebut. Kena pulak taip surat pengesahan isteri tidak bekerja. Sebab dalam senarai semak tersebut hendak surat pengesahan bagi isteri atau suami yang tidak bekerja. Yang tidak ada pendapatanlah maksudnya. Lepas itu kena pulak photostat salinan-salinan sijil SPM anak, kad pengenalan dan cetak slip gaji aku. Nak bukak laman web bapak la slownya sebab talian internet entah apa-apa. Laju lagi kura-kura berjalan.

Dah cukup semua dokumen, aku kena pulak jumpa pegawai atasan aku untuk dapatkan pengesahan bagi salinan-salinan dokumen yang diphotostat tadi dan sebagai saksi dalam dokumen perjanjian pinjman PTPTN. Dah siap semua ditandatangani oleh pegawai atasan aku, aku kena pulak cari Yang Berhormat untuk dapatkan tandatangan bagi surat pengesahan tidak bekerja bagi isteri aku pulak. Yang ni yang panas dalam sejuk ni.

Hari ini cuaca redup dan sejuk tapi hati jadi panas. Bukan sebab ada bara api dalam baju tapi susah sangat nak dapatkan tandatangan Yang Berhormat kita sendiri. Ketiga-tiga YB Parlimen dan DUN entah ke mana tak tau. Sibuk mengalahkan menteri. Dengarnya kat Dewan Rakyat tak ada pulak persidangan. Kat Dewan Undangan Negeri pun tak ada persidangan. Kalau ada sidang DUN kenapa YB Dun Damak, YB Dato' Lau Lee ada kat kawasan?

Patutpun rakyat jelata marah kat YB-YB yang amat sibuk ni. Nak jumpa untuk dapatkan tandatangan pun susah. Itu belum nak minta duit mereka. Patutnya bila dah jadi wakil rakyat senanglah rakyat nak berjumpa untuk urusan-urusan menandatangani borang-borang. Maklumlah sekarang ni musim anak-anak dapat tawaran belajar sana sini. Kalau sibuk sangat dengan kontrak dan berniaga, baik tak payah jadi wakil rakyat. Ramai lagi yang boleh jadi wakil rakyat. Kalau mereka pentingkan kontrak dan bisnes buatlah kontrak dan bisnes tu.

Mujur dan nasib baik lah ada seorang lagi yang sentiasa dekat dengan rakyat iaitu YB Dato' Lau Lee. Ibarat macam Ahli Parlimen dia di Jerantut. Manakan tidak, semua borang-borang bagi semua DUN dia yang tandatangani. Baik dia je jadi Ahli Parlimen. 

Oleh kerana hanya YB Dato' Lau Lee sahaja yang ada di kawasan, aku pun pergilah ke Pusat Khidmat DUN Damak untuk minta tandatangannya. Tak ada pulak dia di pejabat. Kata kerani di pejabatnya YB Dato' ada program dengan MIC di kuil hindu di batu 1. Nak tak nak terpaksalah aku menyusul dia di sana. Tak pasal-pasal hari ini aku pergi ke kuil hindu. Tapi program YB Dato' dengan MIC bukan di dalam kuil tapi di dewan di sebelah kuil tersebut. Dua tiga orang kawan yang lalu dari Jerantut menghala ke Damak agaknya pelik tengok aku berhenti dan berjalan kaki masuk ke dalam kuil. Dalam hati mereka mungkin tertanya-tanya, kenapa pulak kawan aku tu masuk ke dalam kuil?

Pilihanraya dah semakin dekat pun YB-YB kita ini masih dengan hal masing-masing. Tak ada lalulah nak bekerja keras melawat kawasan macam YB Dato' Lau Lee. Yang bagusnya YB Dato' Lau Lee ni memang bekerja keras dari dulu lagi. Kalau ada orang jemput dia mesti dia akan hadir. Tak kiralah majlis politik, kenduri kahwin, jamuan raya atau apa-apa sahaja majlis, biasanya dia akan hadir. Pendek kata kalau dia hadir sampai ke tempat basuh pingganlah dia bersalam dengan orang yang ada di majlis tersebut. Bukan nak kempen tapi itulah hakikatnya. YB-YB kita ....... hampeh. Nak hadir pun payah. Main pilih-pilih je kalau nak hadir dalam sesuatu majlis.

Entahlah apa nak jadi dengan Jerantut ni.
[ ... ]

GULAI ASAM ROM




Gulai asam rom atau rong yang sangat enak dan lazat 
Dulu masa aku budak-budak yang aku tau buah getah ni mabuk kalau dimakan. Lagi pun kat kampung aku masa itu cuma ada sepokok je. Tu pun pokok liar. Orang kampung amik getahnya untuk tampal tiub basikal. Yang aku seronok kalau masa buah getah tu dah tua. Duduk bawah pokok berjam-jam tunggu buah getah tu 'meletup'. Bila buat getah tu meletup, bijinya (biasanya 3 butir je) akan terpelanting merata. Aku dan kawan-kawan berebut nak dapatkan biji getah tu. Biji getah tu cuma untuk disimpan je atau bawa ke sekolah dan beri pada kawan-kawan.

Selepas aku tamat pengajian di Maktab Perguruan Tanjong Malim, aku ditempatkan di daerah Jerantut, Pahang iaitu di Sekolah Kebangsaan Bukit Dinding. Masa aku duduk di Jerantut lah aku jumpa macam-macam jenis makanan dan masakan yang tak ada di tempat aku. Antaranya ialah gulai asam rom atau rong. Kalau masak lemak cili api yang terkenal di Negeri Sembilan tu orang kata pedas tapi gulai asam rom ni lagi pedas. Macam makan api rasanya tapi sedap. Makin pedas makin sedap.

Biji getah
Isi biji getah
Gulai asam rom atau rong ni kurang dikenali tapi ramai yang tahu namanya, makanan orang negeri Pahang, terutama popular di belah Jerantut. Aku nak sambung cerita pasal buah getah ni. Buah getah ni rupanya tak mabuk kalau dimakan. Kat sini kalau kat pokok getah nak cari buah ni kene berebut dengan kera dulu. Kalau makan isi biji getah ni mabuk kera-kera tu mati dah. Kera suka makan biji getah, kera tu kata anti oksidan. Tapi bab-bab kandungan dalam isi biji getah tu aku tak tau sebab aku bukan ahli sains. Yang aku tau makan je. Tapi apa-apa pun jangan percaya cakap kera tu. Aku rasa ramai yang tahu dan kenal biji getah ni, tapi kelazatan buah ni hanya segelintir je yang mengetahuinya.

Buah Perah
Gulai asam rom diperbuat daripada buah perah atau biji getah yang dijemur sehingga kering dan di tumbuk serta di peram selama lebih kurang satu bulan. Ia dimasak bersama beberapa bahan tertentu seperti pucuk paku, keledek, buah jambal, daun jambal, terung pipit, terung telunjuk, daun kesing, keladi dan kacang botol. Kunyit hidup pula ditumbuk bersama cili padi bagi menambah rasa pedasnya. Masakan ini hanya boleh ditemui di kawasan Jerantut dan amat terkenal di sebelah Tembeling. Ia menjadi makanan yang amat digemari bagi penduduk di sana, malahan kini ianya semakin terkenal di kalangan pelancong yang berkunjung ke Kuala Tahan.

Bahan-bahannya :
Ikan sungai - ikan kenerak - RM25 sekilo

1.     1 senduk asam rom atau secukupnya. 
2.     1 ekor ikan sungai. Anggaran dalam 1.5 kilo. Biasanya ikan kenerak. Ikan baung, keli, kelah atau tengas pun sedap juga. Daging pun boleh. Apa-apa pun boleh asalkan jangan kayu atau batu udah le 
3.     1 inci kunyit hidup 
4.     1 daun kesum 
5.     20 biji lada atau cili. Ikut rasa. Lagi pedas lagi sedap 
6.     Secekak pucuk Paku. 
7.     1 biji keledek. Sedang-sedang besarnya. 
8.     Terung pipit, terung telunjuk, daun kesing, keladi dan kacang botol. Ikut suka masing-masing. Kalau tak gemar tak payah bubuh 
9.     Garam secukup rasa 
10.   Kalau ada isi petai ke, jering semai ke, boleh masukkan untuk menambah keenakkannya 
11.    Air secukupnya

Cara-cara2 membuatnya :

1.     Tumbuk kunyit, lada dan asm rom tadi 
2.     Masuk dalam periuk campur terus dengan ikan dan kacau bagi rata 
3.     Kemudian masukkan air bersama daun kesum dan biarkan seketika. 
4.     Kacau perlahan menggunakan api sederhana kecil. 
5.     Apabila ikan masak, masukkan pucuk paku, keledek, terung pipit, terung telunjuk, daun kesing, keladi dan kacang botol dan perasakan  dengan garam secukupnya. 
6.     Biarkan masak seketika dan angkat.

Hidangkan dengan nasi panas. Sedap papaleh deme weh. Uku pedeh uku sedak. Pergggghh ..... belum cuba belum tau. 

Gerai Z & Z atau Gerai Mak Anjang
Sape-sape yang tak pernah makan tu cari-carilah kat Pahang terutama sekali belah Jerantut. Kalau kat Jerantut deme carilah kedai Z n Z atau popularnya dengan nama Mak Anjang. Kedai dia hala ke pasar besar Jerantut. Tapi jangan lewat sangat. Kalau pukul 12.00 ke atas tu kira nasib la kalau masih ada lagi. Bukan nak promosi kedai dia tapi aku selalu makan gulai asam rom kat kedai dia. Kedai atau restoran lain pun setengah-setengah tu ada jugak.

Selamat mencari dan mencuba.

Oleh Cikgu Ameen
[ ... ]

TOKOH JERANTUT

PROFESOR EMERITUS TAN SRI DATO’ DR. ABDUL SHUKOR BIN HJ. HUSIN

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan bagi hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKA) Ke-5 (2005 hingga sekarang), Prof Emeritus Dr Abdul Shukor Husin, 69, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1433H/2011. 

Tokoh Maal Hijrah 1433H/2011 bersama keluarga


Latarbelakang Diri dan Pendidikan

Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor 
Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor dilahirkan di kampung Tebing Tinggi, Jerantut, Pahang. Bapanya Haji Husin seorang guru agama kampung dan ibunya Hajah Maryam seorang suri rumah tangga. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tebing Tinggi dan kemudian menyambung pelajarannnya di peringkat menengah di Sekolah Al-Junid Singapura. Dorongan ibu dan bapanya yang ingin melihat beliau menjadi seorang berpendidikan tinggi agama disamping minat beliau sendiri, maka pada tahun 1964 beliau menyambung pengajian ke Al-Azhar Al-Shariff atas biasiswa Al-Azhar pada peringkat awalnya dan seterusnya biasiswa Kerajaan Negeri Pahang. 

Pada tahun 1970, beliau telah berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian di Fakulti Usuluddin dan pada 1971, beliau juga telah berjaya memperolehi Diploma Pendidikan dari Universiti Ain Shams, Cairo. Selepas berjaya dari Universiti Ain Shams, beliau kembali ke Al-Azhar untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam dan telah berjaya menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana pada tahun 1973.

Semasa pengajiannya di universiti Al-Azhar dan Ain Shams, beliau bergiat aktif dalam kegiatan dan kepimpinan pelajar sehingga dipilih sebagai Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Melayu Mesir dan seterusnya Setiausaha Agung gabungan pelajar-pelajar Asia Tenggara di Timur Tengah.

Keluarga Bahagia Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor
Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor telah bertemu jodoh dengan Puan Sri Ramah Abdul Manan yang berasal dari Singapura. Hasil perkongisan hidup, beliau telah dikurniakan empat orang puteri yang telah mendapat didikan sempurna daripada kedua ibu dan bapanya. Anak pertama, Syahirah telah mendapat Ijazah Dr. Falsafah dalam bidang Undang-Undang Perbandingan dari Universiti KLEE, United Kingdom. 

Anak kedua pula, Dr. Syaimak mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Komputer dari Universiti Nottingham, United Kingdom. Manakala anak yang ketiga, Syadiyah sedang menyelesaikan tesis PhDnya dalam bidang ekonomi dan muamalat di Universiti Cardif, United Kingdom, dan anak bongsu, Dr. Syadwa telah berjaya menjadi Doktor dalam bidang perubatan dan sekarang berkhidmat di Hospital Ampang.

Kerjaya Dan Sumbangan Kepada Masyarakat

Dengan berbekalkan Ijazah Sarjana dan Diploma Pendidikan, pada tahun 1974 beliau diterima berkhidmat sebagai tenaga akademik di Jabatan Usuluddin dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1980, beliau dinaikkan ke jawatan Profesor Madya dan pada tahun yang sama juga beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Usuluddin dan Falsafah.

Beliau kemudiannya telah menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Al-Azhar dan pada tahun 1984 beliau telah berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam. Beliau merupakan anak Melayu pertama lulus di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam dari Al-Azhar.

Setelah kembali ke tanah air pada 15 Jun 1985, beliau dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam sehingga 31 Januari 1987. Pada 1 Jun 1992, selepas beliau bercuti sabatikal, Abdul Shukor sekali lagi dilantik menjadi Dekan Fakulti Pengajian Islam sehingga 30 Mei 1998. Beliau dinaikkan ke jawatan Profesor penuh di Fakulti Pengajian Islam pada tahun 1993,.

Pada 1 Disember 1999, beliau diamanahkan untuk menerajui sebuah universiti baru yang dikenali sekarang sebagai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai Naib Canselor pertama. Peluang ini amat berharga kerana cita-cita beliau yang sangat mendalam untuk membangun sebuah pusat pengajian tinggi moden yang berteraskan Pengajian Islam, menggabungkan antara ilmu aqli dan naqli, kemahiran teori dan amali, serta mahasiswanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris disamping bahasa kebangsaan. Selama 10 tahun beliau menerajui USIM, hasratnya untuk melahirkan satu pusat pengajian yang berpendidikan bersepadu telah terserlah dengan penubuhan lapan fakulti, dua institut dan tiga pusat termasuk pusat tamhidi. Di antara Fakulti-fakulti yang telah ditubuhkan ialah termasuk Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Kesemua Fakulti ini adalah menggunakan pendekatan bersepadu.

Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan bagi hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKA)
Selepas beliau menamatkan khidmat sebagai Naib Canselor USIM, khidmatnya terus diperlukan. Pada masa ini, beliau mengetuai Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) disamping tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang ditubuhkan di bawah Majlis Raja-Raja. Di samping dua tugas yang besar ini, beliau terus menabur khidmat di dalam beberapa jawatankuasa penting di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Di peringkat kebangsaan, beliau dilantik sebagai

- Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.
- Ahli Majlis Perundingan Islam JAKIM
- Ahli Majlis Agama Islam & Adat Resam Melayu Pahang
- Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji
- Ahli Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
- Pengerusi Panel Syariah Kumpulan Silver Bird Berhad
- Pengerusi Panel Syariah Tabung Haji
- Ahli Lembaga Penasihat Pensijilan Halal, JAKIM
- Ahli Lembaga Saham Wakaf Negeri Pahang
- Pengerusi Lajnah Tashih (Lembaga Semakan Pakar Tafsir Terbitan JAKIM)

Dalam bidang akademik pula,beliau sering dilantik sebagai Profesor Pelawat bagi kenaikan pangkat profesor dan profesor madya di beberapa universiti tempatan dan luar Negara dan juga menjadi penilai luar kepada tesis Master dan Ph.D di beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam. Di peringkat antarabangsa beliau dipilih sebagai Timbalan Pengerusi Akademik Fiqh Sedunia yang beribu pejabat di Saudi Arabia dan sekaligus merupakan wakil Malaysia di badan tersebut. Dan sejak tahun 2004 sehingga sekarang, beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga International Syariah Research for Islamic Finance (ISRA) di bawah Bank Negara. 

Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat Pengajian Islam Sedunia dari tahun 1993 hingga 1995 dan Timbalan Pengerusi Persatuan Intelek Islam Asian pada tahun 1998 sehingga 2001. Di samping itu, beliau juga pernah menganggotai beberapa jawatankuasa seperti Pengerusi Jawatankuasa Istilah Islam dan Panel Penilai Tamadun Islam dan Falsafah Dewan Bahasa dan Pustaka. Ahli lembaga Pendidikan Islam (LEPAI) , Jabatan Perdana Menteri. Ahli Lembaga Syariah KFC Holdings, Pengerusi Jawatankuasa Terjemahan Hadis Sahih Al-Bukhari, JAKIM dan juga Ahli Lembaga Pengurus Kolej Islam Pahang (KIPSAS).

Walaupun beliau sibuk dengan pelbagai jawatankuasa dan organisasi di peringkat antarabangsa dan kebangsaan, bidang tujahan utamanya tidak pernah dilupakan iaitu beliau sehingga sekarang ini berjaya menghasilkan lebih dari sepuluh buah buku dan beberapa artikel dalam jurnal di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Penulisan terakhir beliau dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam setebal 513 halaman yang diterbitkan oleh USIM. 

Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor tidak jemu-jemu menabur jasa dan budi untuk meningkatkan pendidikan Islam dan memartabatkan agama serta berbudi pada bangsa dan Negara. Sumbangan beliau yang bernilai dalam bidang akademik dan bukan akademik telah mendapat pengiktirafan negara di mana pada tahun 1993, beliau dianugerahkan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’. Pada tahun 1995, beliau dianugerahkan pingat Johan Setia Mahkota (JSM) oleh Yang di-Pertuan Agong. 

Pada Tahun 2006, beliau di kurniakan Darjah Setia Negeri Sembilan (DSNS) yang membawa gelaran Dato’ dan pada bulan Jun 2010 baru-baru ini sempena hari keputeraan DYM Yang di-Pertuan Agong, beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri. Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan negara amat bernilai dan telah mendapat pengiktirafan tertinggi dari UKM dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Islam semasa Majlis Konvokesyen ke-38 Universiti tersebut pada 4 Ogos 2010. Khidmat beliau yang tidak pernah mengenal erti penat serta komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan USIM juga telah mendapat pengikrafan dengan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus pada Majlis Konvokesyen ke-8 USIM pada 25 September 2010.



Disediakan oleh Cikgu Ameen

Dipetik daripada http://www.e-fatwa.gov.my/biografipengerusi/prof-emeritus-tan-sri-dato-dr-abdul-shukor-bin-hj-husin
[ ... ]

Popular Posts

 

©2009 JERANTUT DAILY | by TNB