Monday 13 February 2012

SAMBAL HITAM

Aku bukan orang Pahang tapi aku dah bermastautin di sini hampir 25 tahun. Begitu juga ada orang Jerantut yang bermastautin di tempat lain. Berhijrah kerana beberapa faktor yang telah menjadi lumrah kehidupan. Ada yang berhijrah kerana pekerjaan dan tidak kurang juga yang berhijrah kerana perkahwinan.

Berhijrah ini memberikan menafaat yang besar dari berbagai sudut. Antaranya budaya dan tradisi. Dari kecil hinggalah berumur 22 tahun aku membesar di dalam masyarakat dan budaya Jawa. Apabila aku diarahkan bertugas di daerah yang jauh melewati kebiasaan kehidupanku memberikan sedikit sebanyak kejutan dari segi dialek dan makanan. Banyak makanan di sini terlalu asing bagiku. Antaranya ialah sambal hitam, sajian yang mungkin sudah dilupakan oleh generasi muda yang kini tinggal di bandar.



Sajian sambal hitam yang enak


Buah belimbing buluh yang telah matang
Bahan utama untuk membuat sambal hitam ialah belimbing buluh. Kalau di kampung aku, belimbing buluh ini hanya digunakan sebagai bahan campuran di dalam masakan seperti masak lemak pedas, masak lemak cekur atau sambal tahun. Ada juga di campur dalam sambal mentah atau di sebut sambal gesek. Malah ada yang istimewa sedikit dibuat halwa. Kalau tidak buah belimbing tersebut hanya berguguran tanpa dapat dimanfaat. Hendak dimakan begitu saja terlalu masam rasanya. 

Untuk membuat asam belimbing langkah-langkah berikut perlu dilakukan. Belimbing-belimbing yang telah matang akan dipetik sebelum menjadi terlalu masak dan berguguran ke tanah. Untuk merebus belimbing tersebut, bersihkan belimbing kemudian rebus tanpa air dengan api yang kecil. Merebus belimbing ini memakan masa yang agak lama juga. Yang penting rebus sehingga belimbing kecut dan bertukar warna cokelat kehitam-hitaman. Biasanya rebus semalaman untuk kecut. Tempoh masa rebusan yang mencukupi bertujuan supaya ketahanan belimbing tersebut untuk disimpan lama sehingga setahun dua. 




Belimbing yang telah siap direbus

PESANAN 1 : Jika hendak guna untuk membuat sambal ini sekali sahaja, memadai hanya rebus anggaran 10 biji belimbing sehingga belimbing bertukar warna coklat saja. Tujuan merebus belimbing sehingga betul-betul kering dan gelap adalah untuk tujuan simpanan jangka masa lama.


PESANAN 2 : Sila guna periuk yang buruk-buruk untuk rebus sebab belimbing mempunyai kandungan asid yang kuat dan boleh menjadikan periuk bertukar menjadi kusam. Kebiasaannya mengguna tin minyak masak yang empat segi untuk rebus belimbing tersebut. 

Untuk membuat sambal hitam tidaklah susah sangat. Yang penting bahan utamanya iaitu asam belimbing. Di sini dikongsikan resepi untuk membuat sambal hitam. Selamat mencuba dan nikmati keenakannya. 

Antara bahan membuat sambal hitam
Resepi Sambal Hitam Pahang 

1 mangkuk ikan bilis yang dibuang perutnya
1 biji bawang besar - hiris
10-15 biji cili padi (pedas ikut rasa masing-masing)
6-7 asam belimbing rebus
Sedikit kicap
Sedikit gula
Sedikit garam
3/4 cawan minyak masak (lebih kurang)



Cara membuatnya :

  1. Tumbuk cili padi sehingga lumat menggunakan lesung batu. 
  2. Kemudian masukkan pula asam belimbing dan lenyek-lenyekkan dengan lesung biar bercampur dengan cili. 
  3. Masukkan pula ikan bilis dan tumbuk separuh hancur. 
  4. Panaskan minyak. 
  5. Tumiskan bawang, tak perlu tunggu bawang layu atau naik bau, terus sahaja masukkan ikan bilis yang telah ditumbuk bersama cili tadi. 
  6. Goreng menggunakan api sederhana. 
  7. Masukkan sedikit kicap, garam dan gula. 
  8. Kacau lagi sehingga agak-agak garing. Atau pun mengikut citarasa masing-masing. Sebab ada yang suka sambal ini rasa lembut-lembut, tak suke garing. Ada juga yang suka sedikit. Jaga-jaga jangan sampai hangit pulak. sambal ini juga boleh tahan berminggu kalau dimasak garing dan kering. 
  9. Bila sudah garing tutupkan api lalu tolakkan sambal ke tepi kuali beberapa minit supaya minyak tos sebelum dihidang. Atau boleh juga angkat dan sejatkan sambal menggunakan penapis santan sebelum dihidangkan dengan nasi putih atau ketupat pulut.
Oleh Cikgu Ameen ....

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

©2009 JERANTUT DAILY | by TNB