Friday 13 January 2012

GULAI ASAM ROM




Gulai asam rom atau rong yang sangat enak dan lazat 
Dulu masa aku budak-budak yang aku tau buah getah ni mabuk kalau dimakan. Lagi pun kat kampung aku masa itu cuma ada sepokok je. Tu pun pokok liar. Orang kampung amik getahnya untuk tampal tiub basikal. Yang aku seronok kalau masa buah getah tu dah tua. Duduk bawah pokok berjam-jam tunggu buah getah tu 'meletup'. Bila buat getah tu meletup, bijinya (biasanya 3 butir je) akan terpelanting merata. Aku dan kawan-kawan berebut nak dapatkan biji getah tu. Biji getah tu cuma untuk disimpan je atau bawa ke sekolah dan beri pada kawan-kawan.

Selepas aku tamat pengajian di Maktab Perguruan Tanjong Malim, aku ditempatkan di daerah Jerantut, Pahang iaitu di Sekolah Kebangsaan Bukit Dinding. Masa aku duduk di Jerantut lah aku jumpa macam-macam jenis makanan dan masakan yang tak ada di tempat aku. Antaranya ialah gulai asam rom atau rong. Kalau masak lemak cili api yang terkenal di Negeri Sembilan tu orang kata pedas tapi gulai asam rom ni lagi pedas. Macam makan api rasanya tapi sedap. Makin pedas makin sedap.

Biji getah
Isi biji getah
Gulai asam rom atau rong ni kurang dikenali tapi ramai yang tahu namanya, makanan orang negeri Pahang, terutama popular di belah Jerantut. Aku nak sambung cerita pasal buah getah ni. Buah getah ni rupanya tak mabuk kalau dimakan. Kat sini kalau kat pokok getah nak cari buah ni kene berebut dengan kera dulu. Kalau makan isi biji getah ni mabuk kera-kera tu mati dah. Kera suka makan biji getah, kera tu kata anti oksidan. Tapi bab-bab kandungan dalam isi biji getah tu aku tak tau sebab aku bukan ahli sains. Yang aku tau makan je. Tapi apa-apa pun jangan percaya cakap kera tu. Aku rasa ramai yang tahu dan kenal biji getah ni, tapi kelazatan buah ni hanya segelintir je yang mengetahuinya.

Buah Perah
Gulai asam rom diperbuat daripada buah perah atau biji getah yang dijemur sehingga kering dan di tumbuk serta di peram selama lebih kurang satu bulan. Ia dimasak bersama beberapa bahan tertentu seperti pucuk paku, keledek, buah jambal, daun jambal, terung pipit, terung telunjuk, daun kesing, keladi dan kacang botol. Kunyit hidup pula ditumbuk bersama cili padi bagi menambah rasa pedasnya. Masakan ini hanya boleh ditemui di kawasan Jerantut dan amat terkenal di sebelah Tembeling. Ia menjadi makanan yang amat digemari bagi penduduk di sana, malahan kini ianya semakin terkenal di kalangan pelancong yang berkunjung ke Kuala Tahan.

Bahan-bahannya :
Ikan sungai - ikan kenerak - RM25 sekilo

1.     1 senduk asam rom atau secukupnya. 
2.     1 ekor ikan sungai. Anggaran dalam 1.5 kilo. Biasanya ikan kenerak. Ikan baung, keli, kelah atau tengas pun sedap juga. Daging pun boleh. Apa-apa pun boleh asalkan jangan kayu atau batu udah le 
3.     1 inci kunyit hidup 
4.     1 daun kesum 
5.     20 biji lada atau cili. Ikut rasa. Lagi pedas lagi sedap 
6.     Secekak pucuk Paku. 
7.     1 biji keledek. Sedang-sedang besarnya. 
8.     Terung pipit, terung telunjuk, daun kesing, keladi dan kacang botol. Ikut suka masing-masing. Kalau tak gemar tak payah bubuh 
9.     Garam secukup rasa 
10.   Kalau ada isi petai ke, jering semai ke, boleh masukkan untuk menambah keenakkannya 
11.    Air secukupnya

Cara-cara2 membuatnya :

1.     Tumbuk kunyit, lada dan asm rom tadi 
2.     Masuk dalam periuk campur terus dengan ikan dan kacau bagi rata 
3.     Kemudian masukkan air bersama daun kesum dan biarkan seketika. 
4.     Kacau perlahan menggunakan api sederhana kecil. 
5.     Apabila ikan masak, masukkan pucuk paku, keledek, terung pipit, terung telunjuk, daun kesing, keladi dan kacang botol dan perasakan  dengan garam secukupnya. 
6.     Biarkan masak seketika dan angkat.

Hidangkan dengan nasi panas. Sedap papaleh deme weh. Uku pedeh uku sedak. Pergggghh ..... belum cuba belum tau. 

Gerai Z & Z atau Gerai Mak Anjang
Sape-sape yang tak pernah makan tu cari-carilah kat Pahang terutama sekali belah Jerantut. Kalau kat Jerantut deme carilah kedai Z n Z atau popularnya dengan nama Mak Anjang. Kedai dia hala ke pasar besar Jerantut. Tapi jangan lewat sangat. Kalau pukul 12.00 ke atas tu kira nasib la kalau masih ada lagi. Bukan nak promosi kedai dia tapi aku selalu makan gulai asam rom kat kedai dia. Kedai atau restoran lain pun setengah-setengah tu ada jugak.

Selamat mencari dan mencuba.

Oleh Cikgu Ameen

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

©2009 JERANTUT DAILY | by TNB