MAKLUMAN

1. Adalah dimaklumkan bahawa portal blog 'Jerantut Daily' ini masih lagi dalam pembinaan. Segala kekurangan dan kesulitan sangat dikesalkan. Sebarang cadangan dan teguran boleh dibuat sama ada diruang 'komen' yang disediakan atau ke email.

2. Sebarang sumbangan artikel, info dan berita boleh dibuat dengan menghantar ke alamat email yang tertera.

3. 'Jerantut Daily' juga akan menyediakan ruangan iklan dengan bayaran bulanan yang berpatutan. Sila hubungi email kami jika berminat sambil memberikan sumbangan.

Terima Kasih ~ Admin.

Monday 20 February 2012




Zuhud Bukan Bermaksud Membenci Dunia

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)
Suatu hari Abdullah bin Abbas RA memakai pakaian yang paling indah dan mahal berharga 10.000 dirham. Beliau bermaksud mengadakan dialog dengan kaum Khawarij yang memberontak. Orang-orang Khawarij adalah golongan yang kuat beribadat tetapi mengenepikan ilmu dan tidak mahu mempelajari al-Quran, Fiqh dan Hadis. Mereka terkenal sebagai kaum yang degil, berpuak-puak dan membenci sesiapa saja yang tidak sefahaman dengan mereka.

Abdullah bin Abbas RA mandi dan memakai wangian yang paling harum, menyikat rambutnya dan mengenakan pakaian yang paling indah dan bersih. Beliau akan berhadapan dengan orang-orang degil yang memakai baju bertampal-tampal, muka yang berdebu dan kusut masai. Mereka berkata: “Kamu adalah anak bapa saudara Rasulullah SAW. Mengapa kamu memakai pakaian seperti ini? Abdullah bin Abbas RA menjawab: “Apakah kalian lebih tahu tentang Rasulullah SAW berbanding saya?” Mereka berkata: “Tentulah kamu yang lebih tahu.” Abdullah berkata lagi: “Demi Allah yang jiwaku dalam genggaman-Nya, sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW berpakaian dengan mengenakan perhiasan yang berwarna merah dan itu adalah sebaik-baik perhiasan.”

Aisyah RA pada suatu ketika melihat sekumpulan pemuda yang berjalan dalam keadaan sangat lemah, pucat dan kelihatan malas. Beliau bertanya: “Siapakah mereka itu?” Para sahabat menjawab: “Mereka itu adalah kumpulan ahli ibadat.” Kemudian Aisyah RA berkata: “Demi Allah, yang tiada Tuhan selain-Nya. Sesungguhnya Umar bin al-Khattab RA adalah orang yang lebih bertakwa dan lebih takut kepada Allah SWT berbanding mereka itu. Kalau beliau berjalan, beliau berjalan dengan cepat dan tangkas. Apabila bercakap, beliau dalam keadaan berwibawa, jelas kedengaran percakapannya dan apabila beliau memukul, pukulannya terasa sakit.”

Hal ini semua berlaku adalah akibat memahami ilmu secara kurang menyeluruh, memberatkan hal ibadat yang sebenarnya mudah, sampai ke tahap berlebih-lebihan dan menyusahkan diri. Begitulah keadaan sebahagian umat Islam yang lupa kepada wasiat Rasulullah SAW yang telah disampaikan kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal RA ketika beliau dikirim menjadi Duta dakwah ke negeri Yaman. Kata baginda yang maksudnya: “Wahai Muaz, mudahkanlah setiap urusan, jangan memberat-beratkannya.”
Apakah agama Islam mengajar untuk membenci dunia? Kalau begitu, mengapa Abu Bakar al-Siddiq boleh berbangga dengan harta kekayaannya untuk membela agama Allah? Begitu juga dengan Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin ‘Affan yang mengeluarkan perbelanjaan membiayai gerombolan tentera Allah dengan wang dari poket mereka sendiri. Adakah Rasulullah SAW melarang mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk meraih keuntungan duniawi?

Bahkan di dalam Al-Quran Allah SWT menegaskan bagi sesiapa yang menolong agama Allah mereka wajib mempunyai bekalan. Firman-Nya yang bermaksud: ”Dan sediakanlah untuk menentang mereka dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh-musuhmu.” Surah al-Anfal: Ayat 60
Bagaimanakah Islam akan menang jika umatnya adalah mereka yang berada dalam skala Negara Dunia Ketiga? Negara miskin dan terkebelakang serta dikuasai oleh musuh-musuhnya. Apabila mereka hendak membeli makanan, mereka terpaksa meminta belas ihsan orang kafir. Apakah zuhud itu bererti membiarkan dunia dimiliki dan dikuasai oleh musuh Allah? Sedangkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: ”Apabila emas seberat gunung diamanahkan kepadaku, aku tidak akan tidur selagi ia tidak habis dimanfaatkan untuk umat Islam.”

Sebagai panduan bersama, ingatlah pandangan Shaikhul Islam al-Imam Ibnu Taimiyah. Beliau berkata: ”Zuhud itu adalah kamu meninggalkan perbuatan yang tidak berfaedah untuk akhiratmu.”
Harta yang halal hendaklah dipastikan dikeluarkan pada tempat-tempat yang halal. Jangan mencari di lubuk yang halal sahaja tetapi membelanjakannya pada jalan maksiat. Atau kebalikannya, mengambil dari sarang penyamun dan membelanjakannya untuk ibadat. Itu semua bertentangan dengan perintah Allah SWT. Orang beriman percaya harta adalah titipan dan amanah Allah, pinjaman sementara dan bila-bila sahaja Dia mahukannya, akan lenyaplah ia dari tangan kita. Cukuplah ia berada dalam genggaman tangan, jangan masuk menguasai hati nurani.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya tentang seorang lelaki yang memiliki harta kekayaan sebanyak 100,000 dinar wang emas. Bolehkan dia dikatakan sebagai seorang yang zahid? Beliau menjawab: ”Lelaki itu dikatakan zuhud apabila ada dua sifat:

1. Tidak terlalu bergembira ketika hartanya bertambah.
2. Tidak terlalu berdukacita apabila hartanya berkurangan.”

Nikmatilah dunia dan segala kesenangannya tetapi pastikan harta yang dimiliki tidak menahan langkah di akhirat kelak dan melambatkan perjalanan ke pintu syurga. Kerana semakin banyak harta, maka pasti semakin rumit hisab perhitungan yang dilakukan, kecuali harta yang halal yang dibelanjakan untuk keredaan Allah. Jika Bahagian Pencegah Rasuah (BPR) datang menyiasat harta dan ia adalah suatu yang menggerunkan, maka bagaimana dengan penyiasatan mahkamah Allah nanti, yang pasti memiliki segala bukti?

Sumber :- DrJuanda.com

[ ... ]

Monday 13 February 2012

SAMBAL HITAM

Aku bukan orang Pahang tapi aku dah bermastautin di sini hampir 25 tahun. Begitu juga ada orang Jerantut yang bermastautin di tempat lain. Berhijrah kerana beberapa faktor yang telah menjadi lumrah kehidupan. Ada yang berhijrah kerana pekerjaan dan tidak kurang juga yang berhijrah kerana perkahwinan.

Berhijrah ini memberikan menafaat yang besar dari berbagai sudut. Antaranya budaya dan tradisi. Dari kecil hinggalah berumur 22 tahun aku membesar di dalam masyarakat dan budaya Jawa. Apabila aku diarahkan bertugas di daerah yang jauh melewati kebiasaan kehidupanku memberikan sedikit sebanyak kejutan dari segi dialek dan makanan. Banyak makanan di sini terlalu asing bagiku. Antaranya ialah sambal hitam, sajian yang mungkin sudah dilupakan oleh generasi muda yang kini tinggal di bandar.



Sajian sambal hitam yang enak


Buah belimbing buluh yang telah matang
Bahan utama untuk membuat sambal hitam ialah belimbing buluh. Kalau di kampung aku, belimbing buluh ini hanya digunakan sebagai bahan campuran di dalam masakan seperti masak lemak pedas, masak lemak cekur atau sambal tahun. Ada juga di campur dalam sambal mentah atau di sebut sambal gesek. Malah ada yang istimewa sedikit dibuat halwa. Kalau tidak buah belimbing tersebut hanya berguguran tanpa dapat dimanfaat. Hendak dimakan begitu saja terlalu masam rasanya. 

Untuk membuat asam belimbing langkah-langkah berikut perlu dilakukan. Belimbing-belimbing yang telah matang akan dipetik sebelum menjadi terlalu masak dan berguguran ke tanah. Untuk merebus belimbing tersebut, bersihkan belimbing kemudian rebus tanpa air dengan api yang kecil. Merebus belimbing ini memakan masa yang agak lama juga. Yang penting rebus sehingga belimbing kecut dan bertukar warna cokelat kehitam-hitaman. Biasanya rebus semalaman untuk kecut. Tempoh masa rebusan yang mencukupi bertujuan supaya ketahanan belimbing tersebut untuk disimpan lama sehingga setahun dua. 




Belimbing yang telah siap direbus

PESANAN 1 : Jika hendak guna untuk membuat sambal ini sekali sahaja, memadai hanya rebus anggaran 10 biji belimbing sehingga belimbing bertukar warna coklat saja. Tujuan merebus belimbing sehingga betul-betul kering dan gelap adalah untuk tujuan simpanan jangka masa lama.


PESANAN 2 : Sila guna periuk yang buruk-buruk untuk rebus sebab belimbing mempunyai kandungan asid yang kuat dan boleh menjadikan periuk bertukar menjadi kusam. Kebiasaannya mengguna tin minyak masak yang empat segi untuk rebus belimbing tersebut. 

Untuk membuat sambal hitam tidaklah susah sangat. Yang penting bahan utamanya iaitu asam belimbing. Di sini dikongsikan resepi untuk membuat sambal hitam. Selamat mencuba dan nikmati keenakannya. 

Antara bahan membuat sambal hitam
Resepi Sambal Hitam Pahang 

1 mangkuk ikan bilis yang dibuang perutnya
1 biji bawang besar - hiris
10-15 biji cili padi (pedas ikut rasa masing-masing)
6-7 asam belimbing rebus
Sedikit kicap
Sedikit gula
Sedikit garam
3/4 cawan minyak masak (lebih kurang)



Cara membuatnya :

  1. Tumbuk cili padi sehingga lumat menggunakan lesung batu. 
  2. Kemudian masukkan pula asam belimbing dan lenyek-lenyekkan dengan lesung biar bercampur dengan cili. 
  3. Masukkan pula ikan bilis dan tumbuk separuh hancur. 
  4. Panaskan minyak. 
  5. Tumiskan bawang, tak perlu tunggu bawang layu atau naik bau, terus sahaja masukkan ikan bilis yang telah ditumbuk bersama cili tadi. 
  6. Goreng menggunakan api sederhana. 
  7. Masukkan sedikit kicap, garam dan gula. 
  8. Kacau lagi sehingga agak-agak garing. Atau pun mengikut citarasa masing-masing. Sebab ada yang suka sambal ini rasa lembut-lembut, tak suke garing. Ada juga yang suka sedikit. Jaga-jaga jangan sampai hangit pulak. sambal ini juga boleh tahan berminggu kalau dimasak garing dan kering. 
  9. Bila sudah garing tutupkan api lalu tolakkan sambal ke tepi kuali beberapa minit supaya minyak tos sebelum dihidang. Atau boleh juga angkat dan sejatkan sambal menggunakan penapis santan sebelum dihidangkan dengan nasi putih atau ketupat pulut.
Oleh Cikgu Ameen ....
[ ... ]

Friday 10 February 2012

BLOGGER DARI KURSUS ANJURAN UMB UMNO JERANTUT




Kursus Menulis dan Menerbitkan Blog Siri 1 anjuran bersama Unit Media Baru UMNO Bahagian Jerantut dengan kerjasama Persatuan Kelab Belia Malaysia telah diadakan Dewan Ariffin, Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut, Pahang pada 5hb Februari lalu.

Seramai lebih dari 21 peserta telah menghadiri dan menyertai kursus tersebut yang antara tujuannya adalah untuk membina sibertropper UMNO dalam penulisan blog serta penulis-penulis yang akan menyumbangkan tulisan mereka bagi blog Komuniti Jerantut, 'Jerantut Daily'.

Sehingga kini, baru sebanyak 2 buah laman blog yang sudah dikesan lahir dari kursus yang diadakan itu. Blog-blog tersebut adalah; 'The Patriot' dan 'Tinta Maya'. Kita percaya akan ada lagi blog-blog lain yang akan lahir selepas ini, serta kita juga berharap agar mereka yang menyertai kursus berkenaan akan menyumbang tulisan mereka untuk blog komuniti 'Jerantut Daily' dalam waktu terdekat.
[ ... ]

Wednesday 8 February 2012

EKONOMI : TRADISI MEMBELA RAKYAT



    UMNO Bahagian Jerantut melalui Pergerakan Wanita UMNO Bahagian yang dipimpinan oleh Pn. Norhelan Binti Mahmud dan Jawatankuasanya telah berjaya mengadakan kerjasama dengan  Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga dibawah program AZAM iaitu Akhiri Zaman Miskin.

      Menurut Hajjah Fadilah Salehudin, Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Jerantut telah mendapatkan bantuan peralatan seperti set mesin jahit, peralatan sejuk beku, mesin pembancuh kuih-muih dan peralatan catering kepada lebih 70 orang kumpulan pertama wanita yang ingin memulakan perniagaan dan mengembangkan perniagaan sedia ada.

         Semua sumbangan ini disampaikan oleh YBM Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar kepada peserta yang telah terpilih. Menurut Hajjah Fadillah lagi, ini merupakan kumpulan pertama dan program ini akan diteruskan untuk kumpulan seterusnya.

   Dengan sumbangan ini membuktikan kerajaan di bawah Barisan Nasional  sentiasa menitik beratkan kepada kemajuan wanita dan semua lapisan masyarakat bagi mengurangkan kadar kemiskinan negara dan meningkatkan pendapatan rakyat seperti mana yang digariskan dalam Plan Pembangunan Ekonomi Negara.

    Syabas kepada pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerantut yang membuktikan bahawa UMNO sentiasa menjadi juara di hati rakyat dalam pelbagai isu yang menitik beratkan kepada kemajuan rakyat secara tidak langsung menolak tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menuduh kerajaan dan UMNO tidak prihatin kepada rakyat.

    Konsep ini ibarat “memberi pancing kepada penangkap ikan untuk menangkap ikan bagi menyara hidup berbanding memberinya ikan untuk dimakan kerana ikan itu lambat laun akan habis dimakan tetapi pancing itu boleh digunakan seumur hidup untuk mencari rezeki”. Ini membuktikan keikhlasan kerajaan dalam membantu masyarakat untuk terus berjaya dan mengakhiri Zaman Miskin bukan sahaja dalam jangka pendek tetapi berterusan untuk jangka panjang.

[ ... ]

Intipati Ucapan Ketua UMNO Bahagian Jerantut



Ketua UMNO Bahagian Jerantut, YBM Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dalam perjumpaan bersama jawatankuasa UMNO empat (4) peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta Ketua-ketua cawangan UMNO telah mengingatkan supaya bersiap sedia dalam menghadapi cabaran PRU 13 ini dengan menyusun jentera dan mengambil berat mengenai pengundi baru.
PRU 13 ini merupakan cabaran yang amat berbeza berbanding dengan PRU yang telah lepas kerana masyarakat kini telah terdedah dengan pelbagai sumber yang boleh menpengaruhi corak sokongan mereka.
Budaya politik yang terlalu banyak dikalangan masyarakat kini juga menjadi satu faktor kepada perubahan pemikiran masyarakat. YBM Tan Sri Tengku menjelaskan lagi budaya politik yang terlalu banyak bukan sahaja berlaku di dalam parti malah merebak ke dalam masyarakat, pertubuhan dan melibatkan jabatan-jabatan kerajaan yang akhirnya membawa kesusahan kepada masyarakat.
Namun begitu, YBM Tan Sri Tengku berkeyakinan dengan corak kepimpinan YAB Perdana Menteri yang jelas akan memberi makna yang besar kepada Barisan Nasional.
Perjumpaan tersebut juga telah memberi ruang dan peluang kepada semua yang hadir untuk bersoal jawab dengan YBM Tan Sri Tengku mengenai politik cabaran dan tugas yang harus dilaksanakan dalam memastikan sokongan rakyat kepada UMNO khususnya Barisan Nasional terus padu.
[ ... ]

Sunday 5 February 2012

SEKITAR KURSUS PENGENDALIAN BLOG ANJURAN UMB UMNO BAHAGIAN JERANTUT

Sdr. Mustafar Mat Arop sedang membuat ucapan aluan dan Sdr. Zulkarmi SUB turut hadir serta menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta kursus.









[ ... ]

Sekalung Tahniah



Salam....


Bagi pihak urusetia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang telah melibatkan diri dalam menjayakan Bengkel Penulisan Blog. Semoga dengan bengkel ini akan memberi satu lagi pengelaman yang berguna kepada peserta-peserta. Terima kasih juga kepada semua Jawatankuasa Media Sosial Komuniti Jerantut yang menjayakan bengkel ini.

Selamat Maju Jaya

Pengerusi
Sukarelawan Media Sosial Komuniti Jerantut
[ ... ]

Friday 3 February 2012

KONVESYEN MEDIA SOSIAL 1MALAYSIA PAHANG



Konvesyen Media Sosial 1Malaysia Siri Jelajah myvo1ce Negeri Pahang akan diadakan seperti keterangan dibawah;

Tarikh: 6hb Februari 2012
Masa: 8.00 Pagi
Tempat: Dewan Tun Razak, Temerloh
Penyertaan sila hubungi email: kms1m.phg@gmail.com

- Tempat adalah terhad -


[ ... ]

KURSUS PENULISAN BLOG ANJURAN UMB UMNO BAHAGIAN JERANTUT



Kursus: Penulisan Blog
Anjuran: UMB UMNO Bahaghian Jerantut
Tarikh: 5hb Februari 2011
Masa: 8.00 pg - 2.00 ptg
Tempat: Dewan Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut
Sila SMS: 017-9448411 'Segera' - tempat adalah terhad.


[ ... ]

Popular Posts

 

©2009 JERANTUT DAILY | by TNB