Zuhud Bukan Bermaksud
Membenci Dunia
Oleh : Dr Juanda Jaya
(Mufti Perlis)
Suatu hari Abdullah
bin Abbas RA memakai pakaian yang paling indah dan mahal berharga 10.000
dirham. Beliau bermaksud mengadakan dialog dengan kaum Khawarij yang
memberontak. Orang-orang Khawarij adalah golongan yang kuat beribadat tetapi
mengenepikan ilmu dan tidak mahu mempelajari al-Quran, Fiqh dan Hadis. Mereka
terkenal sebagai kaum yang degil, berpuak-puak dan membenci sesiapa saja yang
tidak sefahaman dengan mereka.
Abdullah bin Abbas RA
mandi dan memakai wangian yang paling harum, menyikat rambutnya dan mengenakan
pakaian yang paling indah dan bersih. Beliau akan berhadapan dengan orang-orang
degil yang memakai baju bertampal-tampal, muka yang berdebu dan kusut masai.
Mereka berkata: “Kamu adalah anak bapa saudara Rasulullah SAW. Mengapa kamu
memakai pakaian seperti ini? Abdullah bin Abbas RA menjawab: “Apakah kalian
lebih tahu tentang Rasulullah SAW berbanding saya?” Mereka berkata: “Tentulah
kamu yang lebih tahu.” Abdullah berkata lagi: “Demi Allah yang jiwaku dalam
genggaman-Nya, sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW berpakaian dengan
mengenakan perhiasan yang berwarna merah dan itu adalah sebaik-baik perhiasan.”
Aisyah RA pada suatu
ketika melihat sekumpulan pemuda yang berjalan dalam keadaan sangat lemah,
pucat dan kelihatan malas. Beliau bertanya: “Siapakah mereka itu?” Para sahabat
menjawab: “Mereka itu adalah kumpulan ahli ibadat.” Kemudian Aisyah RA berkata:
“Demi Allah, yang tiada Tuhan selain-Nya. Sesungguhnya Umar bin al-Khattab RA
adalah orang yang lebih bertakwa dan lebih takut kepada Allah SWT berbanding
mereka itu. Kalau beliau berjalan, beliau berjalan dengan cepat dan tangkas.
Apabila bercakap, beliau dalam keadaan berwibawa, jelas kedengaran
percakapannya dan apabila beliau memukul, pukulannya terasa sakit.”
Hal ini semua berlaku
adalah akibat memahami ilmu secara kurang menyeluruh, memberatkan hal ibadat
yang sebenarnya mudah, sampai ke tahap berlebih-lebihan dan menyusahkan diri.
Begitulah keadaan sebahagian umat Islam yang lupa kepada wasiat Rasulullah SAW
yang telah disampaikan kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal RA ketika beliau
dikirim menjadi Duta dakwah ke negeri Yaman. Kata baginda yang maksudnya:
“Wahai Muaz, mudahkanlah setiap urusan, jangan memberat-beratkannya.”
Apakah agama Islam
mengajar untuk membenci dunia? Kalau begitu, mengapa Abu Bakar al-Siddiq boleh
berbangga dengan harta kekayaannya untuk membela agama Allah? Begitu juga
dengan Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin ‘Affan yang mengeluarkan
perbelanjaan membiayai gerombolan tentera Allah dengan wang dari poket mereka
sendiri. Adakah Rasulullah SAW melarang mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk
meraih keuntungan duniawi?
Bahkan di dalam
Al-Quran Allah SWT menegaskan bagi sesiapa yang menolong agama Allah mereka
wajib mempunyai bekalan. Firman-Nya yang bermaksud: ”Dan sediakanlah untuk
menentang mereka dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dari
pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk menggerunkan musuh Allah dan
musuh-musuhmu.” Surah al-Anfal: Ayat 60
Bagaimanakah Islam
akan menang jika umatnya adalah mereka yang berada dalam skala Negara Dunia
Ketiga? Negara miskin dan terkebelakang serta dikuasai oleh musuh-musuhnya.
Apabila mereka hendak membeli makanan, mereka terpaksa meminta belas ihsan
orang kafir. Apakah zuhud itu bererti membiarkan dunia dimiliki dan dikuasai
oleh musuh Allah? Sedangkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:
”Apabila emas seberat gunung diamanahkan kepadaku, aku tidak akan tidur selagi
ia tidak habis dimanfaatkan untuk umat Islam.”
Sebagai panduan
bersama, ingatlah pandangan Shaikhul Islam al-Imam Ibnu Taimiyah. Beliau
berkata: ”Zuhud itu adalah kamu meninggalkan perbuatan yang tidak berfaedah
untuk akhiratmu.”
Harta yang halal
hendaklah dipastikan dikeluarkan pada tempat-tempat yang halal. Jangan mencari
di lubuk yang halal sahaja tetapi membelanjakannya pada jalan maksiat. Atau
kebalikannya, mengambil dari sarang penyamun dan membelanjakannya untuk ibadat.
Itu semua bertentangan dengan perintah Allah SWT. Orang beriman percaya harta
adalah titipan dan amanah Allah, pinjaman sementara dan bila-bila sahaja Dia
mahukannya, akan lenyaplah ia dari tangan kita. Cukuplah ia berada dalam
genggaman tangan, jangan masuk menguasai hati nurani.
Al-Imam Ahmad bin
Hanbal apabila ditanya tentang seorang lelaki yang memiliki harta kekayaan
sebanyak 100,000 dinar wang emas. Bolehkan dia dikatakan sebagai seorang yang
zahid? Beliau menjawab: ”Lelaki itu dikatakan zuhud apabila ada dua sifat:
1. Tidak terlalu bergembira ketika hartanya bertambah.
2. Tidak terlalu berdukacita apabila hartanya berkurangan.”
Nikmatilah dunia dan
segala kesenangannya tetapi pastikan harta yang dimiliki tidak menahan langkah
di akhirat kelak dan melambatkan perjalanan ke pintu syurga. Kerana semakin
banyak harta, maka pasti semakin rumit hisab perhitungan yang dilakukan,
kecuali harta yang halal yang dibelanjakan untuk keredaan Allah. Jika Bahagian
Pencegah Rasuah (BPR) datang menyiasat harta dan ia adalah suatu yang
menggerunkan, maka bagaimana dengan penyiasatan mahkamah Allah nanti, yang
pasti memiliki segala bukti?
Sumber :- DrJuanda.com
0 comments:
Post a Comment